Quantcast
Channel: Seri Bahasa
Viewing all articles
Browse latest Browse all 96

Koleksi Pantun Empat Kerat ‘G’

$
0
0

Kategori Adat:


Gadis Minah mengepal nasi,
Nasi mentah dikepal jangan;
Bismillah menguat nyanyi,
Nyanyiku salah bergusal jangan.

Gajah ini gading sembilan,
Turun menyodok dalam dusun;
Beralih tahun beralih bulan,
Nanti dengar hamba nak pantun.

Galah cengal perahu cengal,
Muatlah sarat batang nibung;
Sudah kenal buat tak kenal,
Itulah tanda awaklah sombong.

Galah tak sampai disambung dua,
Lancang tenggelam kita berenang;
Boleh jumpa dengan orang tua,
Boleh abang kira meminang.

Galang kaki kelarai dua,
Banyak orang pergi menempah;
Hidup tidak kerana doa,
Mati tidak kerana sumpah.

Gali perigi di tengah padang,
Boleh saya menumpang mandi;
Ingat saya umur panjang,
Bulan depan ke mari lagi.

Gelap sungguh di tengah malam,
Kerana bulan belum purnama;
Ramai sungguh orang di laman,
Saya tak tahu datang dari mana.

Gemai ini gemai Cik Munah,
Dalam berisi lada muda;
Zaman ini zaman si tuah,
Kalau mati pun tidak berdosa.

Gulai kangkung gulai gumbiling,
Sayang kucai berkudut-kudut;
Amunku batah tinggal seorang,
Kampung usai menjadi kusut.

Gulai lemak sayur cendawan,
Anak udang goreng berlada;
Kasih emak sepanjang jalan,
Sayang saudara sama berada.

Gulai umbut pucuk paku,
Nasi terletak di muka pintu;
Lemah lembut puteri Melayu,
Bijak memasak menjahit baju.

Gunting saya gunting besar,
Jarang sekali guntingkan daun;
Anak saya sudah besar,
Manakan nak nanti barang setahun.

Gunting saya gunting kecil,
Jarang sekali guntingkan daun;
Anak saya lagi kecil,
Minta tangguh barang setahun.

Gunung Ledang nampak berbalam,
Tempat berkelah anak Belanda;
Kalau diperiksa hati di dalam,
Tentu terkilas apa yang ada.

Guruh dan petir penuba limbat,
Pandan terjemur lindung bayang;
Dua tiga mencari ubat,
Badan bertemu nan kok senang.

Guruh petir penuba limbat,
Pandan berjemur di seberang;
Dua tiga mencari ubat,
Ubat dapat badanlah hilang.

Kategori Agama:

Gendang Cik Samat gembala angsa,
Telur angsa sarang setalam;
Umat Muhammad punya bangga,
Embun menitis serata alam.

Gesek biola nama Cik Mamat,
Mari digesek Tanjung Jati;
Doa saya biar selamat,
Ada umur bertemu lagi.

Gunung Medan Hutan Aji,
Padang Mawa bendang berlumpur;
Kalau dah anak mengaji,
Bolehlah berdoa di atas kubur.

Kategori Budi:

Gok-gok minum di kendi,
Dalam kendi dibubuh bunga;
Saya teruk kerana budi,
Dalam budi saya terkena.

Gok-gok minum di kendi,
Di dalam kendi berisi bunga;
Gilalah mabuk kerana budi,
Di dalam budi saya terkena.

Kategori Jenaka:

Gelugu pakai papan,
Buah pauh di atas para;
Nak tegur mukanya masam,
Dia sudah marahkan saya.

Goreng pisang goreng keladi,
Mari goreng kuali besi;
Anak siapa meronggeng tadi,
Cubalah masuk sekali lagi.

Gunung api di atas gedung,
Sudah jerang ke baba Melaka;
Sakit kaki kerana beradung,
Duk ulang janda celaka.

Kategori Kiasan/Sindiran:

Gajah tua gadingnya bengkok,
Masuk ke dusun mati ditembak;
Sungguh baja gemukkan pokok,
Kalau tak air kurus jugak.

Gelus semana-mana papan,
Papan ditarah empat persegi;
Tuan laksana si kain kapan,
Buruk tiada berganti lagi.

Gertak-gertak perahu Cina,
Singgah bermalam di Tanjung Jati;
Panah gajah rusa yang kena,
Rusa dilihat pelanduk yang mati.

Gertak-gertak perahu Cina,
Singgah bermalam di Tanjung Jati;
Tembak rusa gajah yang kena,
Suluh tengok pelanduk yang mati.

Gulai kacang campur cendawan,
Beri makan tuan puteri;
Habis bintang disapu awan,
Bulan bersinar dengan matahari.

Gulai lobak ikan senangin,
Nampak lombong mengail emas;
Ombak besar dikacau angin,
Ikan di tepi mati lemas.

Gunung Tahan Gunung Semabuk,
Nampak dari Inderagiri;
Sudah termakan buah mabuk,
Terperanjat pula ibu sendiri.

Gurok semana-mana papan,
Papan kutarah empat persegi;
Tuan laksana si kain kapan,
Buruk tiada berganti lagi.

Kategori Nasihat:

Gunung dari Kelebang,
Sampai ke Jeddah membawa guni;
Jangan sebarang ikut abang,
Abang sudah ada bini.

Gunung di laut berentang jati,
Kota di Daik saya pagarkan;
Hidup kita lawannya mati,
Nama yang baik kita tinggalkan.

Kategori Pahlawan:

Gantung kelambu tinggi berdiri,
Tempat gajah melonggok tulang;
Adik takut undurlah diri,
Biarlah saya mati seorang.

Kategori Peribahasa:

Gendang bertabuh tigalah bangsal,
Jamu-berjamu semangkuk jeluk;
Nak menambat kasih yang tunggal,
Macam ikan balik ke lubuk.

Guna apa senduduk sebatang,
Di tepi jalan dahannya melintang;
Saya duduk tuan datang,
Bagaikan bulan dipagari bintang.

Guna apa senduduk sebatang,
Di tepi jalan dahannya melintang;
Saya duduk tuan datang,
Bagaikan bulan dipagari bintang.

Gelungsur tebing tinggi,
Cerahnya belukar;
Kalau ukur sama tinggi,
Kalau sudah sama besar.

Gunung Daik bercabang tiga,
Nampak dari Kuala Deli;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Kategori Perniagaan:

Gali cacing di Kampung Cina,
Pergi mengail keruh airnya;
Timbang dacing kena sukatnya,
Baru berniaga boleh lama.


Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka


Viewing all articles
Browse latest Browse all 96